KASUT BURUK

" Bang, boleh saya tau kat mana Universiti Kuala Lumpur?", soal Osman kepada seorang pemandu teksi. 

" Universiti Kuala Lumpur depan ni je.",jawab pemandu teksi tersebut sambil menuding jari ke arah bangunan yang berada lebih kurang 50 meter dari mereka. 

Gembira bukan kepalang Osman kerana tempat yang ingin ditujunya sudah berada di hadapan mata sahaja setelah berjam-jam berjalan kaki daripada Pudu Raya menuju ke bangunan tersebut, itupun mengikut kata hatinya saja. Maklumlah, dia baru pertama kali menjejakkan kakinya di Kuala Lumpur. Sebelum ni dia hanya terperuk sahaja di Pahang.

" Bang, boleh hantar saya ke sana?",soal Osman.

Terkebil-kebil pemandu teksi tersebut. Otaknya ligat memikirkan samada pemuda yang berada di luar teksinya itu kurang siuman atau ada sebatang tulang ikan terselit di celah-celah otaknya. Disebabkan perasaan simpati dan melihat wajah pemuda tersebut yang kelihatan amat keletihan, beliau terus menghantar pemuda tersebut tanpa mengambil apa-apa bayaran. Dalam otaknya ada juga terselit sedikit perasaan simpati apabila melihat baju pemuda tersebut yang nampak lusuh dan kasut yang banyak jahitan untuk menampal segala  lubang-lubang yang terkoyak.

" Terima kasih bang. Terima kasih banyak-banyak.",ujar Osman. Kelihatan Osman begitu gembira dan ceria sekali. 

Osman kini sudah berada betul-betul di hadapan Universiti Kuala Lumpur. Di hadapannya kelihatan pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur sedang lalu-lalang. Diperhatikannya seorang demi seorang pelajar-pelajar tersebut. Sehinggalah anak mata Osman menangkap kelibat seorang gadis yang memang dicarinya. Osman terus mengejar gadis tersebut. Semakin lama semakin hampir. Dalam hatinya bercampur perasaan gembira bukan kepalang dan juga perasaan takut dan berdebar-debar.

Setelah berada betul-betul hampir di belakang gadis itu, Osman terus menarik tangan gadis itu. Disebabkan perasaan berdebar itu terlalu kuat, Osman terus tertunduk.

" Ina, abang datang Ina. Abang datang untuk Ina. Abang tak tau macam mana nak cakap, tapi apa yang abang tau, abang sangat-sangat gembira bila dapat jumpa Ina. Abang tak tau macam mana nak cakap, tapi kalau ikutkan hati abang, abang nak menjerit sekuat hati dan melompat setinggi-tingginya.", getus Osman sambil menitiskan air mata.

" Ina, abang rindu sangat kat Ina. Abang terlalu rindu. Lepas setahun Ina sambung belajar kat sini, Ina terus mendiamkan diri. Abang risau Ina. Abang risau apa-apa yang buruk jadi kat Ina. Abang tak nak benda-benda buruk jadi kat Ina. Abang terlalu sayangkan Ina. Sebab tu abang datang sini. Abang nak pastikan agar tak ada apa-apa yang buruk terjadi kat Ina. Alhamdulillah! Lepas dapat tengok Ina sihat walafiat, abang rasa gembira sangat!",sambung Osman sambil memegang pipi Ina.

" Hoi! Lu apahal brader? Rasa ringan je tangan ni nak tinju muka lu!",kedengaran suara yang amat garau menengking Osman.

Osman terkejut bukan kepalang. Entah macam mana yang berada di hadapannya bukanlah Ina,  tetapi seorang lelaki yang penuh jerawat mukanya. Pelik betul. Patutlah Osman berasa tapak tangannya kasar. Seperti menyentuh kertas pasir. Merah padam muka Osman. Pastinya dia malu apabila orang sekeliling sedang memerhatikannya. Terasa seperti ingin membenamkan mukanya jauh ke dalam tanah. Tetapi nasi telah menjadi bubur. Osman terus berlalu pergi dari kawasan kejadian sambil membuat muka comel. Itu saja yang termampu dilakukannya. 

Mata Osman sekali lagi ligat mencari di mana perginya kelibat gadis yang dicarinya. Setelah berpusing-pusing mencari, akhirnya Osman ternampak gadis yang dicarinya itu sedang memasuki pintu utama Universiti. Osman mengejar dari belakang. Namun ditahan dari masuk kerana tidak mempunyai akses. 

" Tak apalah, aku tunggu Ina kat luar ni je lah.",getus hati Osman sambil terus berdiri di luar pintu masuk Universiti. Sedang tercegat dan berdiri, otaknya memutarkan semula kisah setahun yang lepas.

(FLASHBACK)

" Abang! Abang!",jerit Ina sambil berlari menuju ke arah Osman yang sedang sibuk menoreh getah. 

Osman memerhatikan riak wajah Ina. Kelihatan wajah gadis manis berkulit putih gebu itu sangat gembira. Melambung-lambung tocang rambut Ina apabila berlari bersungguh-sungguh ke arah Osman. Sesekali Ina memusingkan badannya di udara persis seorang Gimnas profesional yang sedang beraksi. Tiba-tiba kelibat Ina hilang begitu sahaja. Osman terkejut besar. Osman dah mula cemas dan takut. Di dalam fikirannya asyik memikirkan adakah dia sedang di'Usik' oleh 'Sesuatu'.  Apa lagi dia mengetahui yang tauke ladang tersebut membela hantu raya. 

Osman semakin gelisah apabila melihat semak di hadapannya bergoyang-goyang. Semakin tak keruan Osman. Tiba-tiba muncul kelibat Ina betul-betul di hadapannya. Wajah Ina penuh dengan lumpur. Wajah yang penuh dengan keceriaan sebentar tadi berganti dengan wajah sedih. Rupa-rupanya kaki Ina tersadung pada tunggul kayu dan terus jatuh. Osman apa lagi. Terus ketawa berdekah-dekah dan berguling-guling di dalam ladang tersebut sambil memegang perutnya. 

PEKK PEKK PEKK!!

"Adoi!!! Gelak pun salah! Tulah, tadi eksyen sangat. Kan dah terbenam muka tu kat lumpur! Hahahaha!",Osman terus sambung menyakat Ina walaupun kepalanya sudah diketuk bertalu-talu menggunakan kasut Osman yang tertanggal sewaktu berguling-guling sebentar tadi. 

"Abang, dah lah gelak tu, Ina nak bagitau satu berita gembira ni kat abang..",getus Ina. Ina terus duduk di hadapan Osman dengan wajah yang masih lagi selekeh dek lumpur.

" Hnns Hnns Hnns.. Ok ok.. Ina nak bagitau abang apa tu?",soal Osman ringkas. Bibirnya masih lagi tersengeh menahan gelak.

" Abang! Ina dapat tawaran sambung buat Ijazah kat Universiti Kuala Lumpur!!",jawab Ina sambil membuat isyarat Peace. " Akhirnya penantian Ina berakhir dengan berita gembira ni!! Ina Happy sangat abang!"

Osman tersentak. Berita gembira itu memang membuatkan dia juga gembira bukan kepalang tetapi berita gembira itu juga menandakan yang Ina bakal meninggalkannya jauh beratus-ratus kilometer. 

" Tapi abang... Ina rasa sedih sangat. Ina tak nak abang jauh dari Ina. Ina sayangkan abang. Ina sayang abang lebih daripada segala-galanya. Ina tak mampu nak berjauhan daripada abang.. Abang banyak tolong Ina.. Abang banyak bagi semangat kat Ina untuk terus menempuhi hidup ni selepas kematian mak ayah Ina. Kalau tak ada abang, Ina tak tau apa jadi dengan Ina. Ina rasa Ina dah tak mampu untuk hidup lagi... ",Ina meluahkan perasaannya. Tanpa disedari, air matanya menitis membasahi bumi. 

" Ina.. jangan macam ni. Abang sangat-sangat gembira dengan berita ni. Memang ini pun impian dan janji abang kepada diri sendiri sewaktu pertama kali abang membuka hati abang untuk menerima cinta Ina. Abang nak sangat tengok Ina berjaya di dalam kehidupan Ina. Dah, jangan menangis lagi sayang. Simpan air mata ni untuk hari Ina berjaya menggenggam Ijazah tu nanti.",pujuk Osman sambil mengelap air mata gadis yang dicintainya itu. "Lagipun jangan risau, abang kan ada sentiasa ada dalam hati sayang."

" Terima kasih abang.. Abanglah kekuatan sayang.. Abanglah hidup sayang.. Sayang takkan mampu lakukannya tanpa abang... Terima kasih lagi sekali abang...",kata Ina sambil terus menunduk dan memandang kasut Osman yang dipegangnya itu. " Eh, abang.. kasut abang koyak lah. Kenapa pakai lagi kasut ni?"

" Eh, kasut tu walaupun koyak tapi berbakat besar tau dalam membantu abang menoreh getah ni. Banyak dah jasa dia kat abang tu. Lagipun, cuba bau kasut tu. Bau tu lah yang banyak memberi inspirasi dan toleransi kat abang tau! Hahaha.",getus Osman untuk menggembirakan semula hati gadis yang dicintainya itu. 

Osman sebenarnya tidak mahu membazir duit untuk membeli kasut baru. Selain untuk menyara Ina, duit gajinya setiap bulan memang disimpan dan dikumpul. Selama ni, Osman lah yang menanggung makan, minum dan segala perbelanjaan Ina. Selain daripada ibu bapa Ina yang dahpun meninggal dunia lima tahun lalu, Ina tiada sesiapa lagi di dunia ini untuk bergantung harap. Akhirnya, duit simpanannya itu boleh digunakan untuk membantu Ina menyambung pelajarannya. Osman tersenyum sendiri. Tak sia-sia dia mengumpul duit selama ini.

" Ish abang ni! Selekehlah! Takpe abang, kasut ni biar Ina bawak balik ye. Ina jahit yang koyak-koyak tu dan Ina basuh bersih-bersih tau abang. Bagi lagi sebelah tu."

" Eh.. tak payahlah.. Menyusahkan Ina je.", kata Osman.

" Ish! Jangan degil boleh tak! Bagi sini! Esok Ina bagi balik kat abang tau! I Love U anje!",getus Ina sambil terus berlari-lari anak berlalu dari situ.

Osman hanya memandang kelibat Ina sehinggalah kelibat Ina hilang dari pandangan. Osman terus tercegat berdiri.. dan berdiri. Air matanya terus menitis. Dari setitis hinggalah pipinya basah berlinangan air mata.

" Eh Osman.. Kau ok ke tak ni? Apsal kau menangis?",soal 'FARMMATE' (rakan sekerja) Osman.

" Aku... Aku... Aku... Kasut aku Ina dah ambik! Macam mana aku nak menoreh ni?! Macam mana aku nak balik ni?!!Huwarghh!!"

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

" Bang.. bang..",

Tersentak Osman dari lamunannya sebentar tadi. Dia memandang ke arah suara yang memanggilnya itu, Adakah Ina? Tapi suara itu garau, Pitching lari sana sini dan agak menakutkan. Tak seperti kemerduan suara Ina lebih-lebih lagi bila Ina mendendangkan lagu Jaga Dia Untukku nyanyian Siti Nurhaliza.

" Bang, abang buat apa duduk kat depan pintu ni bang? Kalau abang nak duduk, abang duduk kat kedai makan depan tu bang, Sebab kejap lagi pelajar-pelajar ni nak keluar. Lagipun sini panas bang. Kat kedai makan tu abang boleh berteduh.",kata seorang pengawal. 

" Maaf kalau saya mengganggu kat sini. Saya tengah tunggu orang ni sebenarnya. Eh, dah nak Lunch dah? Maknanya pelajar-pelajar kat sini dah nak keluarlah ye? Kalau macam tu, boleh tak saya tunggu kejap je lagi? Tolong ye bang.",rayu Osman.

" Kalau macam tu tak apalah. Abang boleh tunggu kat dalam ni sikit. Luar tu panas bang."

" Terima kasih ye. Terima kasih banyak-banyak.",getus Osman sambil menghulurkan salam kepada pengawal yang baik hati itu. 

Lebih kurang 15 minit kemudian, berpusu-pusu pelajar Universiti Kuala Lumpur keluar daripada pintu utama menuju ke tempat makan pilihan masing-masing. Osman masih lagi tercegat memerhatikan seorang demi seorang. Matanya terus meliar memandang keliling. Kali ini Osman betul-betul memerhati dengan tajam, takut tersalah orang lagi seperti tadi. Takut tertarik tangan lelaki Psiko yang bernafsu sejenis pula. Naya pula Osman nanti. 

Akhirnya.. senyumannya terus terukir di bibir. Pencariannya telah berakhir. Ina dah pun berada di hadapannya. Matanya bertentangan mata dengan mata Ina. Cuma, Osman sedikit terkilan apabila melihat riak wajah Ina yang seakan-akan terkejut dan tidak berapa selesa dengan kehadirannya. Senyuman yang terukir tadi sedikit demi sedikit hilang. 

" Assalamualaikum Ina.",salam diberi oleh Osman.

Baru saja Ina ingin membukakan mulut menjawab salam yang diberi, terpacul seorang pemuda yang berbadan sederhana besar dan merangkul pinggang Ina. 

" U, kenapa ni? Lelaki gila ni kacau U ke?",soal pemuda tersebut.

Osman tersentak. Benar-benar tersentak. Osman benar-benar tak menyangka pencariannya ini telah menyebabkan hatinya benar-benar terluka. Hatinya terasa sangat-sangat sakit ibarat ditembak dengan M16. Namun, Osman mengawal segala perasaannya itu.

" Minta maaf mengganggu encik. Saya Osman... Saya sepupu Ina.. ",Osman sendiri tidak menyangka dia akan mengeluarkan kenyataan sebegitu. Tak mengapalah. Asalkan Ina tak dimalukan. "Saya datang sini sebab nak serahkan barang kat Ina.",perlahan nada suara Osman dan sedikit tersekat-sekat. Wajah Osman sedikit tertunduk ke bawah.

" Eh, kenapa tak bagitau awal-awal? I minta maaf ye Osman. I tak tau.",ujar pemuda tersebut sambil tersenyum. "Ina, U Settlekan dulu ye hal dengan Cousin U ni, I tunggu U kat kedai makan biasa tu. Don't be late Darling. Ok Osman, See U Later.",sambung pemuda tersebut dan terus berlalu meninggalkan Ina dan Osman.

" Abang...",tersekat-sekat suara Ina.

" Ina tak perlu terangkan apa-apa kat abang. Abang dah tau. Abang... Abang tak marah Ina.. Ina... Ina berhak dapat lelaki yang lebih baik daripada abang. Ina berhak memilih lelaki yang lebih baik daripada abang,  Abang ni apa pun tak ada. Hidup dengan abang akan menyeksa Ina. ",ujar Osman sambil memegang dadanya yang sangat sebak. Osman hampir terduduk dengan situasi yang terjadi di hadapannya. Osman tiada daya lagi untuk menghadapi kenyataan di hadapannya. Namun dikuatkan lagi hatinya.

" Abang.. "

Belum sempat Ina meneruskan kata-katanya, Osman terus memotong, " Ina... Abang redha jika abang bukan pilihan Ina. Abang tak mampu nak berikan kemewahan pada Ina. Abang tak mampu nak menjamin keselesaan pada Ina. Tak apalah... jika ini takdir abang, abang terima. Dan,.. Abang bahagia... bila Ina bahagia... ".

Belum sempat Ina berkata apa-apa lagi, Osman terus menunduk. Air mata Ina mula berjuraian. Osman membuka kedua-dua belah kasutnya itu dan meletakkannya di hadapan Ina. 

" Biarlah kasut buruk ini kembali kepada orang yang telah menjahitnya. Sekurang-kurangnya, bila abang dah tak ada dalam hidup Ina nanti, Ina masih boleh menceritakan kepada bakal anak-anak Ina tentang kisah seorang lelaki penoreh getah yang sangat menyintai seorang gadis hinggalah gadis itu bertemu dengan lelaki lain yang lebih kaya.. dan menjamin kehidupan gadis itu..",ujar Osman. Kali ni air matanya tak dapat dibendung lagi. Terus jatuh mencurah-curah menyentuh lantai bumi. " Jika ia ada dengan abang, abang akan sentiasa hidup di dalam kesedihan dan kekecewaan. Ina jagalah kasut buruk ni baik-baik... Itu pun jika Ina masih sudi...untuk menyimpannya. Maafkan abang tak dapat lagi untuk menunaikan janji abang untuk melihat Ina berjaya di dalam kehidupan Ina.. Selamat tinggal sayang..".

Dengan badan yang terasa sangat lemah, Osman terus berpaling dari Ina dan melangkah perlahan meninggalkan Ina yang terduduk di hadapan kasut Osman. Air matanya terus menerus meleleh keluar dari kelopak matanya. Osman berjalan dengan berkaki ayam. Sama seperti semasa Ina mengambil kasutnya untuk dijahit di ladang getah setahun yang lepas. Semakin lama semakin jauh langkahan Osman. Langkahan yang tampak sangat tidak bermaya. 

Ina mula menyesali dengan apa yang dilakukannya. Ina mula menyesali pengkhianatannya kepada cinta seorang lelaki yang benar-benar jujur dan ikhlas menyayanginya dan yang telah bersusah payah di dalam kehidupan untuk menjaga dirinya. Ina mendakap kasut buruk tersebut dan merangkulnya di dalam pelukan. Baru saja Ina hendak memulakan langkahan mengejar Osman, dia dikejutkan dengan satu bunyi dentuman yang sangat kuat. 

Ina melihat di hadapannya. Lebih kurang 50 meter dihadapan kelihatan kelibat seorang lelaki sedang terbaring di atas jalan raya. Ina mula menggigil. Ketakutan terus menghantui Ina. Tanpa membuang masa, Ina terus berlari sambil memegang erat kasut buruk tersebut. Sesampainya di sebelah lelaki yang terbaring di atas jalan itu, Ina terus hilang kekuatan untuk berdiri.

Lelaki yang terbaring sudah tidak bernyawa lagi di atas jalan itu adalah lelaki yang telah bersusah payah menjaganya dari dulu tetapi telah dikecewakan dengan pengkhianatan cintanya sekelip mata sahaja.  Lelaki itu adalah Osman. Osman telah telah dilanggar lari oleh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah. Ina sudah tidak dapat mengawal lagi perasaan sedihnya. 

" ABANG!!!!!! MAAFKAN INA!!! ".



-TAMAT-


cerpen komedi, cerpen romantik komedi, cerpen romantik, kasut, buruk, Siap juga cerpen romantik kelakar sedih ciptaan aku ni. Tapi mungkin agak sedih. Peringatan aku kepada semua, jagalah insan yang sanggup bersusah payah untuk kita kerana jika dia sudah tiada, takkan lagi kita berjumpa dengan insan yang sanggup bersusah demi menjaga kita. Dan, jangan lah COPY PASTE. Please. Penat aku perah otak untuk menyiapkan kisah ni. Nak Copy Paste pun tolonglah Kredit ke blog aku balik ye. Sekian terima kasih.


{ 9 comments.. read them below or add one }

Putra IJ80 Putra IJ80 22 September, 2014
ha ha Cerita Melayu ending nya mesti mati.

"jangan lah COPY PASTE. Please. Penat aku perah otak untuk menyiapkan kisah ni".

Kalau lah di zaman Rasullulah s.a.w ..yg mana para sahabat menulis wahyu Allah melalui Nabi di atas kulit di kulit telur dan macam macam cara zaman tue bersifat kedekut mcm kamu kerana mereka yg bersusah payah menulis dgn serba kekurangan..MAKA kita hari ini tidak tahu apa itu Islam

Ini buat cerita rekaan just taip dgn segala kemudahan KEDEKUT mcm hebat sgt creta itu , crte mcm nie hanya layak dlm buku 35 aje...klu hantar Majalan layak nya dlm tong sampah..sje.

Hihi jgn maree.. ..simpan lh lur punya crte.
Farah Waheda Wahid Farah Waheda Wahid 22 September, 2014
bergenang2 air mata membaca...hik hik hik, buat drama pun ok ni...hik hik hik...
Azwan Anuar Azwan Anuar 22 September, 2014
Olahan cerita yang menarik. jalan cerita tu mungkin ramai yang boleh jangka.

tapi olahan cerita bro ni mampu membuatkan otot pipi aku bergerak-gerak tersenyum.

teruskan usaha bro
Diana Rashid Diana Rashid 22 September, 2014
eh!!akak ingat kan sinopsis drama tv..macam dramna yang fizo omar belakon tu..yang dia busuk lepas tu awek dia belajar kat U..cuma ending dia lain la..dia tak mati..cuma jadi wangi dan lebih kemas je..hehehh
Noriza MiracleVitamins Noriza MiracleVitamins 23 September, 2014
Aduh nangis baca cite ni. Menusuk kalbu betul. Kalau buat drama saya follow sampai ending ni.Bravo
Akif Imtiyaz Akif Imtiyaz 23 September, 2014
Mak aiii sedih la pulak bila teringat kat osman tu huhuhuu...
Norizan J Norizan J 23 September, 2014
hahahahahahahahahahahahaha sob sob sob sob... itu jek yang termampu den komen.. sekian....
Hani Fadhlina Abdul Rahman Hani Fadhlina Abdul Rahman 25 September, 2014
Sian Osman ... Hargailah orang2 yang telah bersusah payah untuk kebahagiaan kita ...